Stratus Global Holdings Berhad mencipta permulaan yang memberangsangkan apabila membuat penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad. Syarikat yang merupakan pakar dalam sistem pengendalian bahan automatik bilik bersih (AMHS) untuk industri semikonduktor itu dibuka pada harga RM1.96 sesaham, iaitu premium sebanyak 145% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) RM0.80 sesaham.

Prestasi kukuh pada hari pertama dagangan ini mencerminkan penerimaan positif pasaran serta keyakinan pelabur terhadap asas perniagaan dan prospek pertumbuhan Stratus Global. Syarikat disenaraikan di Bursa Malaysia di bawah nama saham “STRATUS” dengan kod saham 5356.

Stratus Global menawarkan penyelesaian AMHS secara menyeluruh yang merangkumi reka bentuk, fabrikasi, pemasangan dan pentauliahan sistem automasi untuk persekitaran bilik bersih. Portfolio syarikat merangkumi AMHS berasaskan penghantar, AMHS hibrid dan sistem penyimpanan serta pengambilan automatik (ASRS), yang disokong oleh perisian kawalan pengangkutan proprietari dikenali sebagai IntelliMove.

Penyelesaian yang dibangunkan syarikat digunakan terutamanya dalam industri semikonduktor bagi mengautomasikan proses pergerakan, pengendalian dan penyimpanan bahan kritikal. Sistem ini membantu meningkatkan ketepatan, kecekapan dan kebolehpercayaan operasi dalam kemudahan pembuatan berteknologi tinggi.

Dari kiri ke kanan ialah Ms. Tan Ming-li, Independent Non-Executive Director; Ms. Teh Su-Ching, Independent Non-Executive Director; Mr. Tan Chan Chin, Executive Director merangkap Chief Operating Officer; Mr. Ryo Narisawa, Executive Director merangkap Chief Executive Officer; En. Fazrin Azwar Bin Md. Nor, Independent Non-Executive Chairman, semuanya daripada Stratus Global Holdings Berhad; His Excellency Noriyuki Shikata, Duta Besar Jepun ke Malaysia; Mr. David Lim, Chief Executive Officer, UOB Kay Hian (UOBKH); Mr. Tan Meng Kim, Managing Director, Capital Markets, UOB Kay Hian (UOBKH); serta Mr. Samivel A/L Krishnamoorthy, Independent Non-Executive Director, Stratus Global Holdings Berhad.

Melalui IPO yang berjaya, Stratus Global mengumpulkan dana sebanyak RM285 juta hasil penerbitan 356.25 juta saham baharu. Selepas penyenaraian, syarikat mempunyai modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 1.25 bilion saham.

Sebahagian besar hasil IPO akan digunakan untuk mempercepatkan pelan pertumbuhan syarikat. Sebanyak RM122.6 juta diperuntukkan bagi pengembangan kemudahan pembuatan termasuk pembinaan fasiliti baharu di Pulau Pinang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan menyokong projek berskala besar.

Selain itu, RM20 juta akan digunakan untuk memperluaskan operasi antarabangsa melalui penubuhan pejabat sokongan jualan dan kejuruteraan di pasaran semikonduktor strategik. Sebanyak RM45 juta pula diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan untuk meningkatkan penyelesaian AMHS, memperkukuh perisian IntelliMove dan mempercepatkan inovasi produk.

Syarikat turut memperuntukkan RM82.4 juta sebagai modal kerja bagi menyokong operasi harian, pelaksanaan projek dan pertumbuhan perniagaan, manakala baki RM15 juta digunakan bagi menampung kos penyenaraian.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif Stratus Global Holdings Berhad, Ryo Narisawa, berkata penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan korporat syarikat.

Beliau berkata sokongan yang diterima daripada pelabur sepanjang proses IPO membuktikan keyakinan terhadap keupayaan syarikat, model perniagaan serta prospek pertumbuhan jangka panjangnya.

Menurut beliau lagi, hasil yang diperoleh daripada IPO akan membolehkan syarikat memperluaskan kapasiti pengeluaran, memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan keupayaan untuk memenuhi permintaan pelanggan di pasaran semikonduktor utama.

Dengan pengalaman operasi selama 28 tahun dalam segmen AMHS, Stratus Global telah membina kepakaran yang kukuh dalam penyelesaian automasi bilik bersih untuk industri semikonduktor. Penyelesaian yang ditawarkan membantu pelanggan meningkatkan kecekapan pengendalian bahan, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta memastikan aliran pengeluaran berjalan dengan lebih lancar.

AMHS hibrid yang digabungkan dengan perisian IntelliMove turut direka untuk mengoptimumkan penghalaan dan penjadualan berdasarkan keperluan pengeluaran secara masa nyata. Pendekatan ini membantu meningkatkan produktiviti, mengurangkan masa henti operasi dan menyokong kecekapan keseluruhan proses pembuatan semikonduktor.

Prestasi cemerlang pada hari pertama penyenaraian memberikan isyarat positif terhadap masa depan Stratus Global, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam penyelesaian automasi industri semikonduktor di rantau ini.