Malaysia Jadi Tumpuan Perbincangan Tenaga Mampan Dunia Menerusi ISES 2026
Malaysia bakal menjadi tumpuan komuniti tenaga global apabila International Sustainable Energy Summit (ISES) 2026 kembali dianjurkan pada 11 hingga 12 Ogos 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre. Mengangkat tema “Envisioning Sustainable Energy Beyond Borders”, persidangan ini akan menjadi platform utama untuk membincangkan masa depan tenaga mampan, inovasi teknologi serta peluang kerjasama antarabangsa.
SEDA Malaysia selaku penganjur bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus memperkukuhkan usaha dalam membawa agenda peralihan tenaga negara ke peringkat lebih tinggi. ISES 2026 dijangka menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, pemain industri, pelabur, institusi kewangan, penyedia teknologi dan pakar tenaga dari seluruh dunia.

Dengan Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof dijadualkan merasmikan acara tersebut, ISES 2026 dijangka menjadi antara perhimpunan tenaga mampan paling berpengaruh di Malaysia. Acara ini juga mencerminkan komitmen negara dalam mempercepat pembangunan tenaga bersih serta memperluaskan kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi tenaga.
Menerusi tema tahun ini, ISES 2026 membawa mesej bahawa usaha peralihan tenaga tidak boleh bergerak secara bersendirian. Kerjasama antara negara, perkongsian teknologi serta pelaburan strategik amat diperlukan bagi menangani cabaran seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga dan keperluan terhadap sumber tenaga yang lebih mampan.
Bagi meningkatkan impak perbincangan di peringkat antarabangsa, ISES 2026 turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa platform media global bagi memperluaskan capaian mengenai perkembangan tenaga mampan di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Menurut YBhg. Dato’ Hamzah bin Hussin, Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia merangkap Pengerusi Penganjur ISES, sidang kemuncak ini diwujudkan untuk membina jambatan antara idea, kerjasama dan pelaburan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rantau ini.
“Matlamat kami bukan sekadar menganjurkan sebuah persidangan, tetapi mewujudkan platform yang mampu menghubungkan pemikiran, membentuk kerjasama baharu serta menghasilkan penyelesaian yang memberi impak kepada pertumbuhan tenaga mampan,” katanya.

ISES kini semakin dikenali sebagai salah satu platform penting rantau ini dalam membincangkan isu tenaga mampan, dasar tenaga dan perkembangan industri. Edisi sebelumnya mencatat penyertaan memberangsangkan dengan kehadiran peserta dari 24 negara, penglibatan 52 kedutaan, lebih 5,800 peserta serta nilai liputan media melebihi RM10 juta.
Bagi edisi 2026, ISES dijangka membuka lebih banyak peluang kepada kerajaan, sektor swasta, pelabur dan pemain teknologi untuk meneroka kerjasama baharu yang mampu membentuk hala tuju tenaga masa depan.
Dalam usaha dunia menuju ekonomi rendah karbon, ISES 2026 hadir sebagai platform yang menghubungkan idea kepada tindakan serta memperkukuhkan peranan Malaysia dalam membina ekosistem tenaga mampan di peringkat serantau dan global.
Pendaftaran dan peluang kerjasama bagi ISES 2026 kini tersedia untuk pihak yang ingin terlibat dalam agenda tenaga masa depan.


