Disiplin tinggi dalam tadbir urus kos dan kecekapan operasi ternyata membuahkan hasil buat Leon Fuat Berhad (Leon Fuat atau Kumpulan) apabila pengeluar produk keluli terkemuka ini berjaya meraih lonjakan keuntungan luar biasa sebanyak tiga angka bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.

Menerusi strategi pengurusan margin yang cekap, Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) Kumpulan melonjak mendadak sebanyak 195.2 peratus kepada RM5.51 juta bagi suku dikaji, berbanding RM1.87 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya. Seterusnya, Keuntungan Selepas Cukai (PAT) turut mencatatkan pertumbuhan konsisten tiga angka iaitu sebanyak 189.1 peratus kepada RM4.05 juta, berbanding RM1.40 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan ketara pada keuntungan bersih ini dipacu terutamanya oleh pengembangan margin keuntungan kasar keseluruhan yang meningkat kepada 11.2 peratus daripada 9.2 peratus sebelum ini. Keberkesanan strategi penentuan harga dan kawalan kos ini membolehkan keuntungan kasar Kumpulan meningkat 23.3 peratus kepada RM24.09 juta, meskipun berhadapan asas perolehan pendapatan yang stabil.

Bagi suku pertama tahun kewangan 2026, Leon Fuat merekodkan pendapatan sebanyak RM214.84 juta, iaitu peningkatan marginal 1.1 peratus berbanding RM212.52 juta setahun lalu. Segmen pemprosesan nilai tambah kekal menjadi tunjang utama perolehan dengan sumbangan sebanyak RM138.36 juta (64.4 peratus), manakala baki RM76.45 juta (35.6 peratus) disumbangkan oleh segmen perdagangan keluli bersepadu.

Calvin Ooi Shang How, Executive Director of Leon Fuat

Pengarah Eksekutif Leon Fuat, Calvin Ooi Shang How menjelaskan, pencapaian cemerlang di permulaan tahun kewangan ini membuktikan keberkesanan model perniagaan bersepadu syarikat dalam mendepani pasaran. Menurut beliau, keutamaan Kumpulan pada masa ini adalah untuk terus memperkukuh kecekapan operasi, meningkatkan penglibatan pelanggan, dan memaksimumkan nilai rantaian menerusi keupayaan pemprosesan keluli serta pembuatan hiliran.

Di sebalik prestasi suku pertama yang kukuh, pihak pengurusan Leon Fuat mengekalkan unjuran yang optimis tetapi berhati-hati bagi baki suku tahun akan datang. Kumpulan sedar akan cabaran luar kawal termasuk turun naik harga komoditi keluli global, ketidakstabilan pasaran pertukaran wang asing, dan risiko geopolitik yang boleh menjejaskan kos pembekalan keseluruhan.

Bagi meminimumkan risiko rantaian bekalan, Leon Fuat komited untuk memantau rapat trend pasaran dan mengambil langkah proaktif seperti instrumen kontrak hadapan serta mengekalkan pengurusan inventori yang berhemat. Pada masa yang sama, Kumpulan akan terus mengoptimumkan kemudahan pengeluaran sedia ada termasuk operasi pembuatan paip keluli dikimpal bagi memenuhi permintaan pasaran domestik yang dijangka terus disokong oleh projek infrastruktur dan aktiviti pelaburan tempatan.

Setakat 29 Mei 2026, modal pasaran Leon Fuat bernilai RM127.9 juta, bersandarkan kepada harga pasaran saham RM0.375 seunit.