Buakaw Tewaskan Menggofeng dalam Pertarungan Epik

Penganjuran T-Fight All Star 2026 di Stadium Titiwangsa berlangsung dengan penuh meriah apabila menghimpunkan lapan pertarungan sengit yang menampilkan barisan pejuang tempatan dan antarabangsa. Sejak awal acara, setiap pertarungan menyajikan aksi bertenaga dan disiplin tinggi, namun kemuncak malam sudah pasti terarah kepada perlawanan utama yang dinanti-nantikan penonton. Sorakan bergema memenuhi stadium sebaik sesi walkout berlangsung, sekali gus menambah debaran sebelum aksi kemuncak bermula. Dalam pertembungan tersebut, Buakaw berjaya menewaskan Menggofeng menerusi keputusan mata selepas aksi yang cukup kompetitif dan seimbang, dengan beliau dilihat lebih konsisten dari segi serangan dan kawalan gelanggang sehingga memikat hati juri untuk memberinya kemenangan mutlak pada penghujung pertarungan.

Dalam pada itu, perhatian turut terarah kepada legenda Muay Thai dunia, Buakaw Banchamek yang sekali lagi membuktikan kehebatannya masih berbisa walaupun sudah berusia 43 tahun. Berhadapan lawan yang jauh lebih muda, Menggofeng yang berusia 29 tahun, Buakaw tetap mempamerkan ketahanan fizikal, pengalaman serta taktikal yang tinggi, sekali gus menunjukkan bahawa usia bukan penghalang untuk terus bersaing di peringkat tertinggi. Aksi yang dipamerkan mengukuhkan lagi statusnya sebagai legenda sejati dan ikon yang terus menjadi inspirasi dalam dunia Muay Thai.

Menurut pengasas T-Fight, pihaknya turut merancang untuk membawa masuk nama besar Muay Thai dunia seperti Rodtang Jitmuangnon bagi edisi akan datang, namun perkara tersebut masih di peringkat perancangan dan belum dimuktamadkan. Secara keseluruhan, T-Fight All Star 2026 berjaya mencipta malam penuh aksi, dramatik dan berprestij, sekali gus mengangkat martabat sukan tempur di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi. Terima kasih.