THE RAYHAN: Vokal Ikonik Nazrey Johani Kembali Bersatu, Bakal Gegar MAEPS Menerusi Konsert Syukur 26

Kumpulan nasyid legenda yang kini tampil dengan identiti baharu, The Rayhan, secara rasminya mengumumkan penganjuran ‘Konsert The Rayhan Syukur 2026’ yang dijadualkan berlangsung di Hall A, MAEPS, Serdang pada 15 Ogos 2026. Pengumuman eksklusif ini telah dibuat melalui satu sidang media khas yang berlangsung semalam, 22 April 2026, bertempat di Top G Coffee & Cafe, Publika.
Konsert anjuran Bintang Batu Event dan Magnificent G Ventures ini merupakan satu bentuk penghargaan tulus buat para peminat yang telah setia menyokong perjalanan seni mereka sejak penghujung tahun 90-an sehingga kini. Kemunculan semula ini menyaksikan penyatuan semula bekas vokalis utama kumpulan nasyid tersohor Raihan, Nazrey Johani, bersama dua rakan seperjuangannya, Amran Ibrahim dan Afad Ahmad.
Nazrey percaya bahawa penjenamaan semula sebagai The Rayhan mampu memberikan nafas baharu kepada irama nasyid kontemporari agar kekal segar dan relevan buat generasi masa kini tanpa mengabaikan identiti asal yang telah membina legasi mereka selama ini. Konsert Syukur 26 bukan sekadar persembahan muzik biasa, malah ia dijanjikan sebagai sebuah pengalaman spiritual yang penuh nostalgia.