Sarat Air Mata & Pengorbanan, Adi Putra Berdepan Ujian Cinta Paling Getir
Slot Akasia TV3 nampaknya bakal kembali menghangatkan emosi penonton dengan sebuah naskhah berat yang sarat dengan air mata dan pengorbanan. Drama rantaian 28 episod berjudul Luka Di Hujung Setia terbitan Country & Universal Sdn Bhd ini bersedia membongkar realiti sebuah perkahwinan yang runtuh akibat ujian jarak dan kesetiaan. Apa yang pasti, drama ini bakal menyaksikan sisi berbeza hero pujaan ramai, Dato’ Adi Putra, dalam menterjemahkan watak seorang suami yang terpaksa berdepan dengan ujian cinta paling getir.
Bakal bersiaran mulai 2 Jun 2026, naskhah ini menggandakan Dato’ Adi Putra bersama aktres hebat, Zara Zya sebagai teraju utama. Kisah bermula apabila si suami, Irsyad (Dato’ Adi Putra) kehilangan pekerjaan tetap dan terpaksa bekerja sambilan demi menanggung hutang adiknya. Atas dasar mahu menyelamatkan ekonomi keluarga, isterinya Dhia (Zara Zya) nekad berhijrah ke ibu kota untuk mencari rezeki. Malangnya, keputusan murni yang menuntut pengorbanan air mata itu bertukar menjadi permulaan sebuah tragedi apabila Dhia mula hanyut dengan perhatian pengurus projeknya, Faris (Irfan Zaini), sehingga meranapkan kesetiaan yang dibina selama ini.
Watak Irsyad ini diakui memberikan cabaran emosi yang sangat mendalam buat Dato’ Adi Putra. Membawa karakter seorang lelaki yang dikhianati oleh isteri yang sangat dicintai bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya apabila emosi itu perlu disampaikan secara dalaman. Jelas Adi Putra, Irsyad bukanlah seorang lelaki tipikal yang melepaskan kemarahan dengan caci maki, sebaliknya dia memilih untuk memendam rasa, menanggung duka seorang diri, dan sedaya upaya mempertahankan maruah keluarga walaupun jiwanya sendiri hancur berkecai.
Kehancuran rumah tangga itu akhirnya memaksa Irsyad bangkit menjadi bapa tunggal yang membesarkan anak mereka, Aira, bersendirian di kampung halaman. Di sebalik keperitan yang ditanggung, kehadiran Zulin (Cahaya Nilam) yang ikhlas membantu menguruskan kehidupan Irsyad perlahan-lahan mula membuka ruang baharu untuknya mengubat luka lama. Sementara itu, Zara Zya pula menyifatkan watak Dhia sebagai sangat kompleks kerana dia bukanlah wanita yang berniat jahat, tetapi hanyalah seorang insan yang tewas kepada emosi yang rapuh ketika berjauhan daripada keluarga.
Turut dibintangi oleh barisan pelakon berbakat seperti Angella Joliey, Puteri Khareeza, dan ramai lagi, Luka Di Hujung Setia bakal menemui penonton setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3 bermula 2 Jun ini. Bagi anda yang mahu menyaksikan lakonan mantap impak maksima daripada Adi Putra dan Zara Zya, pastikan anda tidak terlepas naskhah ini. Penonton juga boleh menyaksikan episod baharu 24 jam lebih awal melalui platform penstriman www.tonton.com.my, serta ikuti akaun @TV3Malaysia dan @dramasangat di media sosial untuk perkembangan terkini.


