Pusat Perubatan Sunway Bandar Sunway Unggul Sebagai Hospital Pediatrik No.1 Malaysia Oleh Newsweek

BANDAR SUNWAY, 25 SEPTEMBER 2026 – Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) mencatat pencapaian membanggakan apabila buat julung kalinya tersenarai dalam Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek, dengan hospital berkenaan dinobatkan sebagai hospital No.1 Malaysia bagi bidang Pediatrik.
Pengiktirafan tersebut turut menyaksikan bidang Onkologi dikenal pasti sebagai antara kepakaran paling cemerlang SMC, sekali gus memperkukuh kedudukan hospital berkenaan dalam landskap penjagaan kesihatan khusus di Malaysia. Pencapaian ini hadir seiring dengan perkembangan perkhidmatan pediatrik SMC menerusi pembukaan Menara F atau Menara Kanak-kanak, sebuah fasiliti khusus yang direka bagi memperluaskan keupayaan hospital dalam menyediakan penjagaan kesihatan kanak-kanak secara menyeluruh, bersepadu dan berteraskan keluarga.
Menurut Presiden Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, Dato’ Lau Beng Long, pengiktirafan sulung SMC dalam senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia oleh Newsweek merupakan pencapaian penting yang mencerminkan perkembangan hospital dalam bidang pediatrik, onkologi dan neurologi di peringkat serantau. Beliau berkata pengiktirafan bagi bidang pediatrik hadir pada masa yang tepat bersempena pembukaan Menara Kanak-kanak berkapasiti 216 katil, yang menghimpunkan pelbagai subkepakaran pediatrik termasuk hematologi dan onkologi pediatrik dengan sokongan pasukan multidisiplin.
SMC turut mempunyai Pusat Kesihatan dan Perkembangan Kanak-kanak, yang menawarkan rangkaian subkepakaran pediatrik yang komprehensif. Pembukaan Menara Kanak-kanak baharu itu seterusnya memperluaskan keupayaan tersebut menerusi rangkaian perkhidmatan subkepakaran yang lebih menyeluruh dalam persekitaran yang direka khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak serta keluarga mereka.
Dalam usaha menyediakan akses kepada rawatan kecemasan khusus, SMC juga merupakan hospital swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Pusat Kecemasan & Walk-In Kanak-kanak 24 jam. Pusat berkenaan menyediakan rawatan kecemasan untuk bayi, kanak-kanak dan remaja, selain dilengkapi Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) serta kemudahan wad pesakit dalam khusus.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway, Erica Lam berkata pengiktirafan Newsweek itu mencerminkan komitmen SMC terhadap kecemerlangan klinikal dan penjagaan berpusatkan pesakit, khususnya dalam bidang pediatrik. Menurut beliau, pembukaan Menara Kanak-kanak memberikan pesakit akses kepada penjagaan pediatrik yang lebih bersepadu, merangkumi konsultasi, diagnosis dan rawatan yang disokong pasukan multidisiplin.

Menara F turut direka dengan pendekatan berteraskan kanak-kanak dan keluarga, termasuk kelengkapan bersesuaian mengikut peringkat umur, persekitaran yang lebih ceria serta pemandangan hijau dan tarikan di sekitarnya. Pendekatan tersebut mencerminkan usaha SMC untuk menyediakan pengalaman penjagaan yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek klinikal, malah mengambil kira keperluan emosi dan keselesaan kanak-kanak serta ahli keluarga.
Selain diiktiraf sebagai No.1 Malaysia bagi Pediatrik, SMC turut disenaraikan sebagai No.1 Malaysia untuk Neurologi serta menerima kedudukan tertinggi bagi bidang Onkologi dalam ranking Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek. Pencapaian tersebut mengukuhkan lagi rekod SMC dalam pelbagai penilaian penjagaan kesihatan oleh Newsweek.
Pengiktirafan terbaharu itu menyusuli pencapaian SMC untuk tahun keempat berturut-turut dalam ranking Hospital Khusus Terbaik Asia Pasifik 2026 oleh Newsweek, dengan hospital berkenaan diiktiraf dalam lapan bidang kepakaran termasuk Pediatrik, Onkologi dan Neurologi. SMC turut menduduki tempat pertama di Malaysia dalam ranking Hospital Terbaik Dunia oleh Newsweek bagi 2025 dan 2026, selain dinobatkan sebagai hospital terbaik di Malaysia dalam ranking Hospital Pintar Terbaik Dunia 2026 oleh penerbitan berkenaan.

Sebagai hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia dan hospital utama Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway, SMC mempunyai lebih 300 perunding perubatan residen merangkumi 80 bidang kepakaran serta 28 Pusat Kecemerlangan. Susulan pembukaan Menara F, kapasiti katil berlesen hospital kini meningkat kepada 961 katil, sekali gus memperkukuh keupayaannya dalam menyediakan rawatan kompleks dan khusus merentasi pelbagai bidang perubatan.
SMC turut menjadi hospital swasta pertama di Malaysia yang memperoleh tiga akreditasi hospital utama, iaitu Gold Seal of Approval daripada Joint Commission International (JCI), Australian Council on Healthcare Standards International (ACHSI) dan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH). Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan hospital dalam mengekalkan piawaian kualiti dan keselamatan penjagaan kesihatan.
Senarai Hospital Khusus Terbaik Dunia 2027 oleh Newsweek pula menilai hospital berdasarkan tiga komponen utama, iaitu rekomendasi profesional kesihatan antarabangsa, akreditasi serta pensijilan khusus mengikut bidang kepakaran, dan tinjauan Patient-Reported Outcome Measures (PROMs). Penilaian berkenaan menyediakan penanda aras global dalam mengukur tahap kepakaran dan prestasi penyedia penjagaan kesihatan khusus.