Jerebu dan Kesihatan Paru-Paru: Kenali Tanda yang Perlu Diberi Perhatian

Bayi yang kurang menyusu daripada kebiasaan atau warga emas yang tiba-tiba tercungap-cungap ketika berjalan mungkin tidak kelihatan seperti mengalami masalah pernafasan yang serius. Namun, apabila jerebu melanda, perubahan kecil pada corak pernafasan, selera makan atau tahap tenaga boleh menjadi antara petanda awal bahawa paru-paru mula terjejas akibat kualiti udara yang merosot.
Menurut Dr Syed Ajmal Bin Syed Ali, Pakar Perubatan Dalaman, Respiratori dan Pulmonologi Intervensi, serta Dr Noor Zehan Abdul Rahim, Pakar Perubatan Kanak-kanak dan Respiratori Kanak-kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), golongan rentan seperti kanak-kanak, bayi, warga emas serta individu yang mempunyai penyakit pernafasan memerlukan perhatian lebih ketika kualiti udara merosot.
Dr Syed berkata tanda awal masalah pernafasan akibat jerebu tidak semestinya jelas, terutama dalam kalangan golongan dewasa rentan dan warga emas. Bagi kanak-kanak pula, Dr Noor Zehan menjelaskan bahawa sesak nafas, perubahan corak pernafasan atau perubahan secara tiba-tiba dalam penyusuan boleh menjadi petunjuk awal bahawa pendedahan kepada jerebu mula memberi kesan kepada paru-paru mereka.
Antara kebimbangan utama ketika jerebu ialah PM2.5, iaitu zarah halus yang cukup kecil untuk menembusi jauh ke dalam saluran pernafasan. Apabila zarah ini sampai ke saluran udara dan kantung udara yang lebih kecil dalam paru-paru, ia boleh mencetuskan keradangan serta meningkatkan penghasilan mukus. Keadaan tersebut berpotensi menyebabkan gejala seperti batuk, mengah, dada terasa ketat dan sesak nafas.

Kesan jerebu juga boleh berbeza mengikut keadaan dan usia seseorang. Warga emas lebih terdedah kerana proses penuaan boleh mengurangkan kapasiti paru-paru serta keupayaan tubuh untuk membersihkan zarah yang disedut. Kanak-kanak pula mempunyai saluran udara yang lebih kecil dan paru-paru yang masih berkembang, menjadikan mereka lebih mudah mengalami masalah pernafasan. Sementara itu, individu yang mempunyai asma atau penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD) masih berisiko mengalami kemerosotan gejala walaupun keadaan mereka sebelum ini terkawal.
Bagi pesakit asma atau COPD, Dr Syed menasihatkan supaya mereka terus mengambil ubat seperti yang dipreskripsikan dan sentiasa membawa inhaler pelega bersama. Ibu bapa yang mempunyai anak penghidap asma pula disarankan memahami serta sentiasa bersedia dengan pelan tindakan asma anak masing-masing bagi menghadapi kemungkinan gejala menjadi lebih teruk ketika jerebu.
Perubahan kecil daripada rutin harian juga perlu diberi perhatian. Dalam kalangan warga emas, peningkatan batuk atau kahak, mudah mengah, dada terasa ketat atau semakin cepat sesak nafas ketika melakukan aktiviti biasa boleh menjadi tanda bahawa sistem pernafasan mula terjejas. Perubahan ini mungkin kelihatan kecil, tetapi penting untuk dipantau terutama ketika kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.
Bagi bayi dan kanak-kanak kecil, tanda-tanda masalah pernafasan mungkin lebih sukar dikenal pasti kerana mereka tidak dapat menerangkan keadaan yang dialami. Batuk dan hidung tersumbat, misalnya, boleh berkembang menjadi kesukaran bernafas atau menyusu. Bayi yang tiba-tiba kurang menyusu, lebih meragam daripada biasa atau menunjukkan kesukaran bernafas yang semakin meningkat tidak seharusnya dipandang ringan.
Dr Noor Zehan mengingatkan ibu bapa supaya tidak menunggu sehingga anak menunjukkan kesukaran bernafas yang ketara sebelum mendapatkan bantuan perubatan. Perubahan seperti kurang menyusu, meragam tanpa sebab atau peningkatan kesukaran bernafas boleh menjadi tanda awal yang memerlukan perhatian.
Walaupun bacaan indeks kualiti udara boleh membantu keluarga membuat keputusan untuk mengehadkan aktiviti luar, pemantauan terhadap gejala kesihatan juga sama penting. Rawatan perubatan perlu dipertimbangkan sekiranya sesak nafas, batuk atau mengah semakin teruk, atau apabila ubat yang biasanya digunakan tidak lagi memberikan kelegaan seperti biasa. Bagi kanak-kanak pula, ibu bapa disarankan mendapatkan bantuan perubatan jika batuk atau selesema mula mengganggu pernafasan atau penyusuan.

Ketika jerebu, orang ramai juga digalakkan berada di dalam rumah sebanyak mungkin dan mengurangkan aktiviti fizikal berat di luar. Namun, kekal aktif di dalam rumah masih boleh dilakukan mengikut kemampuan, termasuk membenarkan kanak-kanak bermain di dalam rumah dan warga emas melakukan aktiviti fizikal ringan.
Kualiti udara dalaman turut perlu diberi perhatian apabila keadaan di luar merosot. Tingkap dan pintu boleh ditutup bagi mengurangkan kemasukan udara tercemar, manakala penapis udara yang mampu menapis zarah halus boleh digunakan. Penapis penghawa dingin dan pembersih udara juga perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.
Dr Noor Zehan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan essential oil sebagai penyelesaian kepada masalah jerebu kerana ia tidak menghapuskan pencemar udara dan berpotensi menambah bahan asing dalam ruang dalaman. Bagi mereka yang perlu keluar ketika keadaan jerebu, Dr Syed menyarankan penggunaan pelitup muka N95 atau KN95 dengan cara yang betul untuk membantu mengurangkan pendedahan kepada zarah halus.
Melindungi kesihatan ketika jerebu bukan sekadar mengehadkan aktiviti luar, tetapi turut memerlukan kepekaan terhadap perubahan kecil pada tubuh, khususnya dalam kalangan bayi, kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit pernafasan. Dengan mengenal pasti tanda awal, mengurangkan pendedahan kepada pencemaran serta mendapatkan rawatan apabila diperlukan, risiko komplikasi akibat jerebu dapat ditangani dengan lebih baik.