Joy Splash ‘Healing’ Habis! Zepp KL Bergema Dengan Tenaga Luar Biasa ReVeluv

Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini memang betul-betul “splashed” dengan percikan cinta! Tepat pada 25 April lalu, siri jelajah solo pertama Joy iaitu 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) akhirnya singgah ke Malaysia dan jujurnya, vibe malam itu memang lain macam punya padu. Lebih 1,500 ReVeluvs berkumpul memenuhi ruang ikonik tersebut semata-mata nak tengok buah hati mereka secara dekat setelah sekian lama menanti. Sebaik sahaja lagu Hello berkumandang sebagai pembuka tirai, suasana terus bertukar menjadi pesta yang cukup bertenaga dan penuh emosi.
Joy atau nama sebenarnya Park Soo-young memang tak pandai mengecewakan. Sepanjang konsert, dia membuktikan vokalnya yang “super sweet” menerusi lagu-lagu hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu. Bukan itu sahaja, peminat drama Korea turut dipuaskan dengan rangkaian lagu runut bunyi (OST) popular termasuklah Introduce Me a Good Person dan Yeowooya. Apa yang paling mahal mestilah momen bila Joy menyapa peminat dalam nada penuh rindu. Luahan ikhlas Joy yang mengatakan betapa dia gembira dapat bertemu kembali dengan peminat di Malaysia membuatkan ramai yang “cair” dan tak keruan.