‘Good Boys Go To Heaven’ gabung suspens dan trauma, lakonan berkesan Beto Kusyairy dan Zahirah MacWilson

Astro menerusi jenama Astro Originals terus memperkukuhkan komitmennya dalam menghasilkan kandungan premium merentasi pelbagai genre yang mampu memikat hati peminat dan penonton Malaysia dengan karya terbaharu berjudul ‘Good Boys Go To Heaven’. Siri terbitan Astro Shaw ini dijadualkan menemui penonton bermula 8 Mei 2026, setiap hari Jumaat, sama ada pada jam 12.00 tengah malam secara On Demand atau jam 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan Astro Citra (Saluran 108).

Seiring usaha memperluaskan genre thriller psikologi, ‘Good Boys Go To Heaven’ diterajui oleh penulis skrip terkemuka dan pemenang Anugerah Festival Filem Malaysia, Mira Mustaffa, yang juga merupakan bakat kreatif Astro Shaw serta bertindak sebagai showrunner bagi siri ini. Kisahnya berpusat kepada Yasser, seorang bapa yang berdepan mimpi ngeri setiap ibu bapa apabila anak lelakinya, Ahyan, dilaporkan hilang sebelum ditemui dalam keadaan tragis selepas dibunuh dengan kejam. Naratif ini turut mengangkat isu trauma yang menyentuh emosi, sambil menyorot bagaimana kesannya bukan sahaja dirasai individu, malah mempengaruhi orang di sekeliling mereka.