Pentas muzik alternatif tanah air bakal menyaksikan satu impak luar biasa menerusi pengumuman konsert “Gegaran di Zepp KL: Empat Ikon Indie Malaysia Bersatu Julai Ini”.

Acara berprofil tinggi anjuran RR Entertainment itu bakal menghimpunkan empat nama paling berpengaruh dalam industri muzik bebas tempatan iaitu Butterfingers, Bunkface, Bittersweet, dan Masdo untuk berkongsi satu pentas bersejarah pada 18 Julai 2026, bermula jam 8.00 malam.

Gandingan empat ikon ini disifatkan sebagai satu lambang kekuatan identiti muzik indie tempatan yang merentasi generasi. Kumpulan legenda Butterfingers bakal mengubati rindu peminat tegar menerusi persembahan istimewa bersempena album ikonik mereka, “Transcendence X Butter Worth Pushful”. Kehangatan malam tersebut akan digandakan lagi dengan aksi bertenaga daripada raja pop punk negara, Bunkface, nuansa emosional Brit-pop bawaan Bittersweet, serta alunan retro moden yang sinonim dengan Masdo.

Bagi menyemarakkan lagi ekosistem muzik tempatan, konsert ini turut memberi ruang eksklusif kepada band muda yang sedang meningkat naik, Noise, untuk membuat penampilan khas sebagai aksi pembuka tirai (opening act). Langkah ini menyerlahkan komitmen penganjur dalam merapatkan jurang antara legenda dan pelapis generasi masa depan.

Bukan sekadar hiburan pentas semata-mata, perhimpunan mega ini diangkat sebagai sebuah gerakan budaya bagi meraikan evolusi muzik alternatif yang terus hidup dan relevan hasil sokongan utuh komuniti serta peminat setia.

Tahap keterujaan luar biasa peminat sudah pun terbukti apabila tiket bagi kategori CAT 3 Seating dilaporkan kini hampir 90% terjual, sekali gus meletakkan konsert ini sebagai antara acara paling dinanti untuk tahun 2026.

Memandangkan kapasiti ruang di Zepp Kuala Lumpur adalah terhad untuk sebuah acara berskala besar seperti ini, para peminat dinasihatkan untuk segera membuat pembelian awal. Tiket bagi kategori CAT 1 & CAT 2 Standing, CAT 3 & CAT 4 Seating, serta VIP Box boleh didapati secara dalam talian melalui platform rasmi Ticket2U di pautan https://www.ticket2u.com.my/event/49944.