CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) terus mempergiat usaha membantu masyarakat menghadapi musim tengkujuh menerusi kerjasama dengan rakan bantuan kemanusiaan bagi memastikan komuniti terjejas banjir kekal terhubung serta menerima bantuan yang diperlukan dengan segera. Melalui kerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, CelcomDigi akan menyediakan kemudahan kesalinghubungan kecemasan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS), selain menyalurkan bantuan kemanusiaan dan sokongan operasi di lapangan.

Inisiatif berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 3,400 isi rumah dengan kapasiti bantuan yang mampu menjangkau sehingga 42,000 orang di enam negeri yang sering berdepan risiko banjir, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Sabah. Bagi menyokong pelaksanaan usaha tersebut, CelcomDigi turut menyediakan kenderaan pacuan empat roda (4WD), bot penyelamat, stesen pengecasan mudah alih, pam air, pam jet, penjana elektrik serta tenaga sukarelawan bagi membantu MRA menjalankan operasi bantuan dengan lebih berkesan.

Dalam usaha memastikan penduduk yang terjejas terus mendapat akses kepada maklumat penting, CelcomDigi akan melengkapkan 15 PPS dengan unit Akses Wayarles Tetap (Fixed Wireless Access, FWA). Kemudahan ini membolehkan keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan kekal berhubung dengan ahli keluarga serta mendapatkan maklumat terkini dan mengakses perkhidmatan komunikasi ketika kecemasan.

Pada masa sama, CelcomDigi turut mengambil langkah memperkukuh daya tahan infrastruktur telekomunikasinya dengan meninggikan struktur rangkaian utama di kawasan berisiko banjir. Langkah tersebut bertujuan melindungi peralatan radio dan elektronik kritikal daripada kerosakan akibat banjir, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan perkhidmatan rangkaian sepanjang musim tengkujuh.

Bagi mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan, pasukan operasi CelcomDigi juga ditempatkan dalam keadaan siap siaga selama 24 jam bagi membolehkan penjana elektrik dan sumber sokongan lain disalurkan dengan segera ke kawasan terjejas. Selain itu, syarikat berkenaan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan maklumat terkini dapat disampaikan dengan pantas kepada komuniti di kawasan berisiko tinggi.

Selain memperkukuh kesiapsiagaan rangkaian dan menyediakan bantuan ketika bencana, CelcomDigi turut menggalakkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah persediaan awal sebelum musim tengkujuh bermula. Melalui Kit Pengurusan Bencana Banjir, orang ramai boleh mendapatkan panduan praktikal serta maklumat penting bagi membantu mereka membuat persiapan menghadapi kecemasan, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan keluarga sekiranya berlaku banjir.

Usaha menyeluruh ini mencerminkan komitmen CelcomDigi dalam menyokong komuniti ketika berdepan bencana, dengan memberi penekanan kepada kesinambungan komunikasi, kesiapsiagaan infrastruktur dan penyelarasan bantuan kemanusiaan. Melalui kerjasama strategik bersama agensi bantuan dan pihak berkuasa, CelcomDigi berusaha memastikan masyarakat di kawasan berisiko banjir mendapat sokongan yang sewajarnya ketika menghadapi musim tengkujuh.