TP-LINK PERKUKUH KERJASAMA INDUSTRI-AKADEMIA BERSAMA TAR UMT, CETUS BAKAT TEKNOLOGI GENERASI MASA DEPAN

KUALA LUMPUR, 22 September 2026 — TP-Link Distribution Malaysia Sdn. Bhd. (TP-Link Malaysia) terus memperkukuh hubungan antara industri dan institusi pengajian tinggi menerusi kerjasama baharu bersama Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), dalam usaha menyediakan generasi baharu profesional teknologi dengan kemahiran rangkaian perusahaan yang praktikal serta selari dengan keperluan industri.
Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) selama tiga tahun, sekali gus memperluas jaringan kolaborasi TP-Link Malaysia bersama institusi akademik di negara ini. Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan lebih awal kepada teknologi perusahaan, pensijilan profesional dan pengalaman praktikal sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan.
Melalui kerjasama ini, penyelesaian rangkaian perusahaan Omada akan disepadukan ke dalam persekitaran pembelajaran TAR UMT, membolehkan pelajar memperoleh pengalaman secara langsung dalam mengendalikan infrastruktur serta teknologi rangkaian yang digunakan dalam persekitaran perusahaan sebenar. Pendekatan tersebut dijangka membantu pelajar menghubungkan pengetahuan akademik dengan aplikasi teknologi dalam dunia pekerjaan.
Selain pembelajaran teknikal, pelajar TAR UMT turut mendapat akses kepada bengkel teknikal, sesi perkongsian pengetahuan bersama pakar industri serta laluan untuk mendapatkan pensijilan Omada Certified Network Administrator (OCNA). Pensijilan ini melengkapkan pengajian akademik mereka dengan kompetensi rangkaian yang relevan dan diiktiraf industri.
Kerjasama berkenaan turut membuka peluang kepada pelajar untuk menjalani latihan amali dan latihan industri bersama TP-Link Malaysia. Pendedahan ini membolehkan mereka memahami amalan kerja sebenar serta mengaplikasikan kemahiran teknikal yang dipelajari dalam persekitaran profesional.
Pengarah Serantau TP-Link Malaysia, Cai Zhenbiao (Hugo Cai), berkata pembangunan bakat teknologi masa depan perlu bermula lebih awal dengan memberikan pelajar pendedahan industri yang bermakna sepanjang proses pembelajaran. Menurut beliau, pendekatan tersebut dapat membantu pelajar memahami bagaimana teknologi perusahaan diaplikasikan, diurus dan berkembang dalam persekitaran sebenar, di samping merapatkan jurang antara industri dan akademia.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengkomputeran dan Teknologi Maklumat TAR UMT, Ts Lim Shen Huoy, berkata kerjasama berkenaan memperkukuh persekitaran pembelajaran institusi dengan memberikan pelajar peluang menguasai sistem bertaraf perusahaan secara langsung serta memperoleh kelayakan yang diiktiraf di peringkat global. Menurutnya, pendedahan tersebut bukan sahaja meningkatkan keupayaan teknikal graduan, malah membantu mempersiapkan mereka untuk menjadi tenaga teknologi yang tangkas dan berkemahiran tinggi dalam landskap digital yang berkembang pesat.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meneroka peluang dalam bidang penyelidikan, pertukaran pengetahuan teknikal, penglibatan fakulti serta pelbagai inisiatif industri-akademia lain. Usaha ini bertujuan mempererat hubungan antara kepakaran akademik dengan pengalaman industri, sekali gus membuka lebih banyak ruang untuk perkongsian ilmu dan pembangunan bakat.
Penyertaan TAR UMT turut menandakan satu lagi perkembangan dalam usaha TP-Link Malaysia memperluas akses kepada pendidikan rangkaian perusahaan dalam sektor pendidikan tinggi negara. Sebelum ini, syarikat tersebut telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan New Era University College.
Dengan memperluas rangkaian kerjasama industri-akademia, TP-Link Malaysia menyasarkan untuk membangunkan pendekatan pembangunan bakat yang lebih menyeluruh dengan menggabungkan pengetahuan industri, pembelajaran praktikal dan pensijilan profesional. Inisiatif ini seterusnya menyokong usaha memperkukuh kumpulan bakat dalam bidang rangkaian perusahaan bagi memenuhi keperluan transformasi digital Malaysia pada masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai penyelesaian rangkaian perusahaan Omada TP-Link, sila layari: https://www.omadanetworks.com/us/business-networking/consult/.