KEDAH DAN JOHOR DINOBAT JOHAN KEBANGSAAN PERTANDINGAN MEMASAK SEKOLAH MENENGAH MAGGI® 2026

Kedah dan Johor muncul sebagai juara kebangsaan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026, selepas dua pasangan pelajar dari negeri berkenaan berjaya menampilkan kreativiti dan kemahiran memasak terbaik di pentas peringkat kebangsaan yang berlangsung di Melaka. Muhammad Ammaruddin bin Jasni dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izhham dari SMK Mahsuri, Kedah dinobatkan sebagai Johan kategori Menengah Rendah, manakala Hannah Jasmine binti Zakaria dan Nur Ellisa Balqis binti Saiful dari SMK Mutiara Rini, Johor meraih gelaran Johan kategori Menengah Atas.
Penganjuran tahun ini mencatat penyertaan tertinggi sejak pertandingan tersebut diperkenalkan hampir tiga dekad lalu, dengan seramai 4,606 pelajar sekolah menengah dari 16 negeri dan Wilayah Persekutuan mengambil bahagian. Peningkatan lebih dua kali ganda berbanding 2,088 peserta pada 2025 itu mencerminkan sambutan yang semakin meluas dalam kalangan pelajar dan sekolah di seluruh negara, selain memperlihatkan minat generasi muda terhadap kemahiran memasak serta kreativiti kulinari.
Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® selama ini menjadi platform untuk membantu golongan muda membina keyakinan diri, mengembangkan kreativiti dan menguasai kemahiran praktikal menerusi pengalaman memasak. Pada masa sama, pertandingan ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenali dan mengangkat cita rasa serta tradisi makanan yang menjadi sebahagian daripada warisan kulinari Malaysia.
Menurut Ivy Tan Link Cheh, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura, penganjuran selama 29 tahun telah membuka ruang kepada generasi muda untuk belajar, mencuba dan mengekspresikan kreativiti melalui masakan. Tahun ini turut menandakan satu perkembangan penting apabila MAGGI® menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, sekali gus memperluaskan peluang penyertaan ke seluruh negara.

Selain kemahiran memasak dan pemahaman tentang pemakanan seimbang, pertandingan tahun ini turut memperkenalkan elemen literasi kewangan menerusi kerjasama strategik antara MAGGI® dan Kementerian Pendidikan Malaysia. Peserta perlu merancang hidangan berdasarkan bajet yang ditetapkan, sekali gus mengaplikasikan kemahiran seperti perancangan, pengurusan sumber dan membuat keputusan secara bertanggungjawab. Pendekatan tersebut turut menyokong aspirasi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2.0 (2026–2030).
Encik Ahmad Haridan bin Mohammed, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sukan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, berkata kerjasama strategik tersebut membuka lebih banyak peluang kepada murid untuk belajar melalui pengalaman secara langsung. Gabungan kemahiran memasak, kreativiti dan literasi kewangan bukan sahaja membantu membina kemahiran kehidupan, malah memberi pendedahan kepada bidang kulinari dan vokasional yang berpotensi menyokong pilihan pendidikan serta kerjaya mereka pada masa hadapan.
Selepas melalui pertandingan di peringkat negeri, peserta terbaik daripada setiap negeri dan Wilayah Persekutuan melangkah ke peringkat kebangsaan untuk membawa nama negeri masing-masing. Peringkat akhir menyaksikan 16 finalis negeri berentap dalam kategori Menengah Rendah dan Menengah Atas, dengan setiap hidangan dinilai berdasarkan aspek kreativiti dan inovasi, rasa, persembahan serta penerapan konsep Suku-Suku-Separuh yang diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi kategori Menengah Rendah, SMK Taman Medan, Selangor meraih Naib Johan, diikuti SMK Bentong, Pahang di tempat ketiga, SMK Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan di tempat keempat dan SMK Segambut Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat kelima. Dalam kategori Menengah Atas pula, SMK Seri Bemban, Melaka muncul Naib Johan, manakala Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya, SMK Elopura II, Sabah dan SMK Raja Permaisuri Bainun, Perak masing-masing menduduki tempat ketiga hingga kelima.
Kejayaan Kedah dan Johor di pentas kebangsaan bukan sekadar mencerminkan keupayaan para pelajar menghasilkan hidangan yang kreatif dan berkualiti, malah menonjolkan potensi generasi muda dalam menghargai cita rasa serta warisan makanan Malaysia. Melalui pertandingan ini, peserta berpeluang mencabar kemampuan diri, membina keyakinan dan berkongsi kreativiti berdasarkan makanan yang dekat dengan kehidupan serta komuniti mereka.
Bagi MAGGI®, usaha memperkasa generasi muda turut merangkumi usaha memastikan warisan cita rasa Malaysia terus dihargai dan diterokai oleh generasi seterusnya. Menerusi Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI®, para pelajar bukan sahaja digalakkan untuk mengekalkan tradisi masakan tempatan, tetapi turut diberi ruang untuk mencipta pendekatan baharu melalui hidangan yang lebih seimbang, idea kreatif dan teknik masakan moden.
Dengan penyertaan yang mencatat rekod baharu serta peluasan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform pembangunan bakat muda, sambil menyemai kemahiran kehidupan, kreativiti dan penghargaan terhadap warisan kulinari dalam kalangan generasi masa depan Malaysia.